Sabtu, Oktober 29, 2011

Gedix In Action!

Introducing...Si Gedix!


Gedix adalah kucing yang cerdik! Semenjak saya mengandung, kami melarang Gedix dari masuk ke rumah kerana risaukan virus toxoplasma yang merbahaya untuk ibu dan kandungan. Jadi semenjak itu Gedix takkan masuk ke rumah kami kecuali kalau ada kucing putih yang mengganggunya. Itupun, Gedix hanya akan masuk dan bersembunyi di sebalik langsir. Kucing yang mendengar kata, bijak! Sayang Gedix! :)

Sabtu, Oktober 22, 2011

Diari Kehamilanku: Minggu 32

Pukul 12 lebih kami bertolak ke An-Nur sebab Encik Suami pergi kerja dahulu. Sampai di An-Nur, pukul 12.40 tengahari. Rupa-rupanya Dr. Khamsiah sudah mahu pulang sebab semua appointment klinikalnya sudah habis. Mujur kami sempat sampai sebelum doktor pulang. Huhu..

Sampai sahaja di sana jururawat terus panggil untuk periksa tekanan darah & berat. Itupun dia buat laju-laju sebab doktor suruh masuk bilik terus. Tak sempat nak periksa air kencing.

Masuk dalam, seperti biasa doktor suruh baring untuk scan. Sebelum scan doktor cakap, "hopefully kepala baby sudah di bawah". Tetapi kepala bayi masih di atas. Doktor nasihatkan supaya sujud lama-lama, ia boleh membantu bayi untuk turun ke bawah. Kata doktor, kalau kepala baby tidak turun-turun, semasa bersalin nanti perlu ceaser. Jadi saya perlu fikir di mana mahu bersalin. Huhu..

Saya cuma mampu berusaha dan berdoa. Sudah mohon pada mak juga supaya mendoakan agar kepala baby turun ke bawah. Mudah-mudahan berkat doa mak di Mekah, kepala baby saya turun ke bawah dan dapatlah saya bersalin secara normal. Mohon doa rakan-rakan juga. Amin...


Statistik minggu 32:
Tekanan darah: Normal
Berat terkini (ibu): 67.7 kg (naik 1.7kg)
Berat terkini (bayi): 1.7 kg (naik 0.4kg)
Keadaan bayi: Sihat tetapi kedudukan masih songsang.

Diari Kehamilanku: FAQ

Sepanjang tempoh hamil ni ada beberapa soalan popular yang orang suka tanya. Antaranya ialah:

1)
Q: Sudah berapa bulan?
A: Jawapannya bergantung pada bila ditanya. Sekarang sudah 8 bulan! :)

2)
Q: Bila due?
A: InsyaAllah, 16 Disember 2011.

3)
Q: Dah scan? Boy ke girl?
A: Sudah, doktor kata insyaAllah girl.

4)
Q: Ada alahan/muntah-muntah tak?
A: Masa trimester pertama ada tapi tak teruk sangat. Sikit-sikit sahaja. Cuma tak boleh makan sardin, daging dan susu. Kalau makan, akan muntah. Bila masuk trimester kedua sudah ok. Boleh makan apa sahaja.

5)
Q: Berat banyak naik?
A: Masa trimester pertama & kedua, naik lebih kurang 1 kg sebulan. Masa raya naik 2 kg sebulan. Masa trimester ketiga:
Minggu 27 - 30: Naik 4kg sebulan.
Minggu 30 - 32: Naik 1.7kg dalam masa 2 minggu.

6)
Q: Sakit tak? (soalan semasa trimester ketiga)
A: Biasalah, sakit pinggang, pinggul, punggung.

Selain soalan-soalan di atas, antara perkara yang orang suka buat ialah sentuh/pegang perut. Ada yang tanya dahulu, ada yang terus pegang tapi saya tidak kisah pun. Sebelum ni saya pun ada keinginan untuk menyentuh perut orang yang mengandung cuma saya segan. Huhu..

Rabu, Oktober 05, 2011

Bersukan

Jam sudah menunjukkan pukul 7.50 pagi. Kami berdua sedang mengadap komputer masing-masing. Tiba-tiba encik suami bersuara, "nak bersukan kejap". Dalam fikiran saya, dia mahu pergi berjoging kerana dia baru sahaja membeli seluar track minggu lepas. Saya bertanya, " hari ni tak payah pergi awal ke?" kerana minggu ini dia ada training di Mid Valley. Jadi, kebiasaannya dia akan keluar dalam pukul 8 lebih. Dia menjawab, "baru pukul berapa, awal lagi..". Ok, saya pun senyap sahaja sambil menyambung aktiviti di internet. Beberapa minit kemudian, saya perasan dia masih lagi di hadapan komputer. Saya melihat ke skrin komputernya. Rupa-rupanya dia sedang bermain game PES 2011. Saya terus berkata, "laa..ini ke sukannya? ingatkan nak pergi joging. bila abang nak pakai seluar track abang tu?". Pertanyaan saya hanya disambut dengan gelak ketawa. Huhuhu.. Dalammasa yang sama, baby dalam perut pun asyik menendang. 'Join' abah bersukan ke baby? Hihihi.. :D

Keluarga Bahagia

Jam hampir menginjak ke pukul 11 malam. Encik suami baru pulang dari kerja dengan wajah kepenatan. Mana tidaknya. Sudahlah tidak cukup tidur, sepanjang hari ber'training' pula, kemudian ke client site sampai lewat malam. Masuk sahaja ke dalam rumah, dia terus berbaring di pangkuan saya di atas sofa. Ketika itu saya sedang duduk di sofa sambil melayari internet. Saya usap-usap kepalanya. Pipinya terasa sangat sejuk (sebab dia suka pasang air-cond kuat-kuat di dalam kereta). Dia menutup mata sambil tersenyum. 

Saya pelik melihat dia tiba-tiba senyum. Saya bertanya, "kenapa abang senyum?". Dia hanya membisu sambil terus tersenyum. Selepas berkali-kali saya tanya barulah dia jawab, "abang rasa bahagia". Mendengar jawapan itu, saya terus tersenyum. Apalagi yang membahagiakan selain melihat insan yang kita sayang bahagia? Apatah lagi kalau dia berbahagia dengan kita. Hehehe..

Sebelum ini saya pernah beberapa kali memberitahu suami saya, "ayang sangat bahagia kahwin dengan abang". Dia tersenyum. Katanya, dia sangat terharu mendengar kata-kata saya itu. Saya memang seorang yang suka meluahkan apa yang saya rasa. Tidak boleh simpan senyap-senyap dalam hati. Kalau simpan, dada saya akan rasa seperti mahu pecah akibat rasa yang membuak-buak. Huhuhu..

Saya ada terlalu banyak kasih dan sayang untuk diberikan pada orang-orang yang saya sayang. Sekarang ni kebanyakan darinya saya limpahkan pada suami saya. InsyaAllah selepas anak kami lahir, boleh saya limpahkan kasih sayang tersebut pada anak kami pula. Saya berdoa agar perkahwinan kami berkekalan hingga ke akhir hayat kami...dan seterusnya ke syurga Allah yang kekal abadi. Moga-moga anak-anak kami juga bahagia dan gembira lahir dalam keluarga yang bahagia dan penuh dengan kasih sayang. Amin... :)

Selasa, Oktober 04, 2011

Sayang..Rindu..

Setiap kali baby saya bergerak-gerak di dalam perut ini, setiap kali itulah rasa sayang dan rindu padanya makin menebal. Ahh..adakalanya, saya rasa tidak sabar untuk memeluk dan menciumnya. Itu cara saya untuk meluahkan perasaan sayang dan rindu saya. Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak mahu kehamilan saya berakhir. Terasa sangat istimewa menjadi wanita mengandung. (Hehe.. :D) Tetapi, sudah pastilah perkara itu mustahil. Mahu jumpa baby, maka haruslah beranak dahulu. Bila sudah beranak, maka sudah tidak mengandunglah. Huhuhu.. Tidak mengapa, selepas beranak boleh mengandung lagi. (Eh, belum beranak sudah bercita-cita mahu mengandung lagi. Haha!).

Perasaan saya ketika ini adalah sangat 'best'. Saya mendoakan agar semua wanita (yang sudah berkahwin terutama rakan-rakan saya) berpeluang untuk menikmati perasaan dan pengalaman ini. Saya juga berdoa agar rakan-rakan yang masih belum berumahtangga agar dipermudahkan urusan untuk bertemu jodoh dan seterusnya berpeluang melalui pengalaman ini. Moga Allah tabahkan hati kalian untuk terus berusaha, berdoa dan bertawakal padaNya. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita semua. Yang penting, jangan berhenti berusaha dan berdoa, ok? Ganbatte! (^__^)v

Muhasabah Diri: Sempurnakah Penutupan Aurat Kita?

Sumber: FB Page Ustaz Zamri



Pagi tadi saya terjumpa gambar ini di FB News Feed. Lantas saya kongsikan gambar ini di Wall FB saya agar saya dan rakan-rakan dapat sama-sama menilai diri samaada pakaian kita menutup aurat dengan sempurna atau tidak. 


Saya teringat kata-kata suami saya yang begitu menusuk kalbu. Katanya, "bukan abang yang tak approve tetapi Allah!". Aduh...sesungguhnya saya insaf mendengar ayat itu. (-__-")

Semoga Allah memberi kekuatan pada kita untuk sentiasa menutup dan menjaga aurat dengan sempurna. Amin...

Isnin, Oktober 03, 2011

Diari Kehamilanku: 29 Minggu

Alhamdulillah, kandunganku sudah berusia 29 minggu. Ini bermakna, kehamilanku sudah menjengah trimester ketiga! Yeay! Dalam trimester ketiga ni, perut semakin cepat membesar, sangat ketara ok. Mungkin sebab baby pun cepat membesar kot, sedang mengumpul lemak. Hehe.. Bila baby susah semakin membesar, pergerakan dia pun makin aktif dan makin terasa. Entah apa yang dia buat kat dalam ni. Pusing sana, pusing sini, bergolek-golek, menendang atas bawah kiri kanan, dan kadang-kala dia tersedu (hiccup). Sangat comel! Hehe.. ^__^

Perasaanku setiap kali dia bergerak? Sangat bahagia! Itu tandanya dia sihat di dalam. Tapi kalau dia aktif semasa aku hendak tidur, aku akan ajak sekali dia tidur. "Baby, Mama nak tidur ni. Jom tidur sama-sama. Malam baby tidur tau. Siang je jaga." Entah dia faham entahkan tidak. Haha..tapi lepas cakap tu dia senyap sahaja. Dia tidur juga agaknya. Heheh.. Sengaja cakap begitu supaya apabila baby sudah keluar nanti, dia tidak berjaga malam. Huhu.. Kini, perasaan sayangku pada baby makin menebal. Rasa sayang, rindu, rasa nak peluk, nak cium tapi tak boleh lagi sebab dia masih dalam perut. Kadang-kadang rasa macam tak sabar mahu jumpa baby. Tapi, dalam masa yang sama, tak mahu baby keluar awal. Biarlah minggu ke-36 ke atas baru baby keluar supaya dia (dan mama juga) betul-betul bersedia. Hehe..

Sekarang ni, barang kelengkapan bayi dan mama pun belum lengkap lagi. Tapi, alhamdulillah banyak juga yang sudah dibeli semalam. Pada mulanya kami ke JJ Equine. Di sana ada Baby Fair tetapi tidak banyak pilihan. Selepas Encik Suami membeli seluar tracknya, kami terus ke Kedai Manjaku di Bandar Baru Bangi. Agak senang membeli belah di tempat yang memang menjual barang bayi. Sebabnya, hampir kesemua barang keperluan ada dijual di sana. Maka, tak perlu pergi banyak tempat. Pergi satu tempat sahaja sudah boleh beli banyak barang. Malah harganya lebih murah berbanding di Kompleks Membeli Belah seperti JJ atau Giant. Lagipun, di Kompleks Membeli Belah tidak banyak pilihan. Hanya jenama tertentu sahaja yang ada. Kalau di Manjaku, bermacam-macam jenama ada. Pilih sahajalah mengikut bajet samada mahu yang murah atau yang mahal. Untuk kami, kami lebih suka memilih yang murah tetapi berkualiti. Lagi murah lagi bagus tetapi dalam masa yang sama, kualiti mestilah ok. Kalau murah tetapi tidak berkualiti, kami akan ambil yang mahal sedikit.

Semalam, dalam masa satu hari, di satu tempat sahaja, kami habis hampir RM400. Tetapi alhamdulillah, banyak barang keperluan bayi yang sudah ada. Senang sedikit hatiku. Balik sahaja ke rumah, saya terus 'sort out' barang-barang yang dibeli sambil menanda 'baby checklist'. Yang mana sudah dibeli, yang mana sudah lengkap, yang mana perlu di beli lagi, yang mana tidak perlu beli dan lain-lain lagi. Selepas itu saya kemaskan barang-barang tersebut ke dalam almari khas untuk baby. Barang-barang pakaian pula diasingkan ke tempat lain sebab selepas ini harus buat operasi membasuh pula. InsyaAllah sekiranya ada masa akan ku kongsikan 'baby checklist' itu. Sekarang masih lagi dalam proses mengemaskini.