Isnin, Julai 11, 2011

Selamat Hari Lahir?

Hari ini, tanggal 11 Julai 2011, genap umurku 28 tahun.

Perasaanku? SYUKUR, alhamdulillah..aku bahagia..

Sesungguhnya aku amat bersyukur pada Allah atas segala nikmat yang diberikanNya padaku.

Buktinya? Suamiku bertanya.."Ayang nak apa-apa tak untuk birthday kali ni?". Jawabku.."Tak nak apa-apa. Ayang dah ada abang, ada baby (dalam perut)." Lantas suamiku menjawab, "Ok, nanti birthday abang, abang nak iPad tau. Haha..", gurau suamiku. Tergelak aku dibuatnya.

Sesungguhnya, aku bahagia. Aku bahagia dengan kehidupanku sekarang. 

Persoalannya, adakah aku juga akan bahagia di akhirat kelak??

Berbahagia di syurga Allah yang kekal abadi itu lebih utama dari kebahagiaan yang ku alami sekarang. Aku ingin terus berbahagia bersama suamiku dan keluarga kami di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Alhamdulillah, aku masih punya masa untuk mengumpul bekalan ke akhirat. Moga dengan pertambahan usiaku ini, akan bertambah banyaklah amal ibadahku. Walaupun umurku bertambah tetapi hakikatnya usiaku semakin singkat. Ini bermakna, masa untukku mengumpul amalan juga semakin berkurang. Moga aku dapat memanfaatkan masa yang masih ada ini. Amin Ya Rabbal A'lamin..


Khamis, Mac 31, 2011

Muhasabah Diri | Bermonolog dengan diri sendiri


Umurku sudah hampir menjangkau 28 tahun. Lagi 2 tahun, aku akan berumur 30 tahun. Ini bermakna, masaku di dunia ini sudah semakin singkat. Aku sudah menghampiri alam barzakh. Kemudian aku akan berada di alam tersebut sehinggalah hari kiamat. Setelah aku berada di alam barzakh, tiada lagi amalan yang boleh kulakukan melainkan mengharapkan amalan-amalan yang telah ku lakukan di dunia ini. Itupun, hanya 3 amalan sahaja yang berterusan iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat serta amal jariah.

Sehingga kini, aku masih belum punya anak. Kalau ada pun, adakah anakku akan jadi anak yang soleh/solehah? Jikalau soleh pun, adakah anakku itu akan ingat untuk mendoakan ku? Aduhhh..nampaknya aku tidak boleh bergantung atau berharap pada amalan nombor satu itu.

Bagaimana pula dengan ilmu yang bermanfaat? Ya, aku ada belajar ilmu yang bermanfaat. Ilmu-ilmu yang ku pelajari semasa di sekolah, di universiti, di dalam usrah, di kelas tajwid, ilmu-ilmu yang kudengari di radio, tv atau ceramah di surau, juga ilmu-ilmu yang ku dapat dari pembacaan. Tetapi, adakah aku mengamalkan apa telah kupelajari? Adakah aku sampaikan pada yang lain? Sekiranya aku sampaikan, adakah ilmu yang kusampaikan itu betul, adakah mereka yang mendapat ilmu dariku memanfaatkannya atau ia terhenti setakat itu sahaja? Oh, bagaimana ya? Nampaknya aku perlu lebih berusaha untuk belajar dan beramal dengan ilmuku, mengajar serta menyampaikan ilmu tersebut pada yang lain, pada seramai mungkin. Mudah-mudahan ada yang terus-terusan mengamalkannya. Dan mudah-mudahan amalan-amalan itu sampai kepadaku setelah aku meninggal dunia nanti.

Amalan yang ketiga pula ialah amal jariah yang berterusan. Hemm..terfikir sebentar..adakah apa-apa amal jariah yang pernah kulakukan? Jika ada pun, adakah ianya berterusan? Atau adakah ianya terhenti setakat itu sahaja?

Aduhai..bagaimana ini? Umurku semakin singkat tetapi bekalanku belum cukup lagi. Oh, tidak! Saya sudah kesuntukan masa! (-__-") Huwaaaa... ;-(

Huh..tetiba terasa gerun di hatiku..bagaimana jika hari ini adalah hari terakhir bagiku? Apa yang akan ku bawa ke sana? Dosaku banyak. Aku belum cukup bertaubat lagi. Huwaaaaa...tolong aku! Eh, siapa yang boleh tolong aku dalam hal sebegini? Hanya Allah dan diri ku sahaja yang mampu membantu diriku sendiri. Tolong Ya Allah, berikanlah kesempatan pada hambaMu ini..

Badanku terasa lemah, longlai..langkahku lesu memikirkan perkara ini. Adakah aku masih punya masa?

*********
Ya, usah berputus asa Nazrahku, kau masih punya masa! Selagi nyawamu belum sampai ke halkum, selaki itulah kau masih punya peluang untuk bertaubat, membuat amal ibadah serta mengumpul bekalan untuk kau bawa ke alam barzakh..ke akhirat..dan ke syurga yang kekal abadi.

Oleh itu, gunakanlah masa yang masih ada ini sebaik mungkin. Manfaatkannya sehabis baik. Usah kau baziri walau sesaat kerana di dunia ini sahajalah tempat untuk kau beramal. Di dunia ini sajalah tempat untuk kau bercucuk tanam. Maka, bercucuk tanamlah. Kemudian, jaga dan bajailah tanamanmu itu sebaik mungkin. Mudah-mudahan kau dapat menikmati hasilnya nanti semasa di alam barzakh, di alam akhirat dan seterusnya di syurga yang kekal abadi itu.
*********

Ahh..ya lah..aku masih punya masa! Terima kasih wahai sahabat. InsyaAllah akan ku hargai masa yang masih ada ini.


Rabu, Mac 23, 2011

Memotivasikan Diri Dengan Al-Quran

Di saat saya menghadapi cabaran dalam hidup di dunia ini, ayat inilah yang menjadi penguat semangat saya...

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
Ia mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”.
(Al Baqarah 286)

Khamis, Januari 13, 2011

Syurga Firdausi...kami merinduimu...

Bismillahirrahmanirrahim...Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Entah kenapa hari ini hatiku gundah gulana. Serba tidak kena. Rasa tidak sedap hati, sedih, tensi dan pelbagai lagi perasaan negatif. Lantas ku putarkan lagu Taman Firdausi (nyanyian kumpulan In-Team) berulang-ulang kali. Buat mengingatkan diriku yang dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara sebelum kita pulang ke 'rumah'. Rumah kita yang sebenar adalah di SYURGA. Di sanalah tempat untuk kita hidup dengan senang lenang buat selama-lamanya. Mudah-mudahan di akhirat nanti kita ditempatkan di SYURGA FIRDAUSI bersama-sama dengan Rasulullah dan para sahabat baginda.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :”Dunia penjara bagi orang Mukmin dan Syurga bagi orang kafir.”

(Hadis Riwayat Muslim)


Taman Firdausi

Album : Tiada Lagi Kasih
Munsyid : In-Team
http://liriknasyid.com



Indahnya taman Firdausi
Tak terbayang di mata
Tak terjangkau di hati
Kurniaan yang abadi
Itulah taman syurga tertinggi
Bagi mukmin yang sejati

Di sana tiada derita
Bahkan usia kan kekal remaja
Wajah ceria berseri
Tanda nikmat tak terperi
Indahnya syurga itu janjiNya
Bagi insan yang bertaqwa

Bidadari dan para pemuda syurga
Bagaikan kilau mutiara
Sungai yang mengalir beraneka rasa
Limpah rahmat Yang Esa

Tiada duka tiada resah
Dan tiada jemu yang melanda
Di sanalah keindahan
Kebahgiaan jiwa yang hakiki
Selamanya.....

(Kurniakan syurgaMu Ya Allah... Ya Rahman...Ya Rahim)

Haruman Raihan yang memikat sukma
Dan linangan Salsabila
Mahligai permata megah mempesona
Tak tergambar hebatnya

Tiada duka tiada resah
Dan tiada jemu yang melanda
Di sanalah keindahan
Kebahgiaan jiwa yang hakiki
Selamanya.....

Senilagu : Amin In-Team (Inteam Records) 
Senikata : Amin In-Team, Frizdan, Ustaz Pahrol Md Juoi 
Hakcipta : Inteam Records Sdn. Bhd. 
Penerbit : Muhammad Hazamin Harun (Inteam Records) 
Susunan Muzik : Firdaus Mahmud


10 Sahabat Rasulullah Yang Dijanjikan Syurga

Bismillahirrahmanirrahim...Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...


InsyaAllah hari ini saya mahu kongsikan tentang 10 orang sahabat Rasulullah S.A.W. yang dijanjikan syurga. Sebenarnya ramai lagi sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga tetapi 10 orang sahabat di bawah disebut dalam satu Hadis:


عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ حُمَيْدٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ سَعِيدَ بْنَ زَيْدٍ حَدَّثَهُ فِي نَفَرٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عَشَرَةٌ فِي الْجَنَّةِ أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ وَعُثْمَانُ وَعَلِيٌّ وَالزُّبَيْرُ وَطَلْحَةُ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ وَأَبُو عُبَيْدَةَ وَسَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ قَالَ فَعَدَّ هَؤُلَاءِ التِّسْعَةَ وَسَكَتَ عَنِ الْعَاشِرِ فَقَالَ الْقَوْمُ نَنْشُدُكَ اللَّهَ يَا أَبَا الْأَعْوَرِ مَنِ الْعَاشِرُ قَالَ نَشَدْتُمُونِي بِاللَّهِ أَبُو الْأَعْوَرِ فِي الْجَنَّةِ قَالَ أَبُو عِيسَى أَبُو الْأَعْوَرِ هُوَ سَعِيدُ بْنُ زَيْدِ بْنِ عَمْرِو

Ertinya : 
“ Daripada Abdul Rahman Bin Humaid, daripada bapanya : Sesungguhnya Said Bin Zaid pernah menceritakan kepadanya mengenai satu kumpulan , dengan katanya : Pernah Baginda Rasulullah s.a.w bersabda : 10 orang yang akan memasuki syurga iaitu (1) Abu Bakar, (2) Umar, (3) Utsman, (4) Ali, (5) Zubair, (6) Tolhah, (7) Abdul Rahman, (8) Abu ‘Ubaidah, (9) Sa’ad Bin Abu Waqqas ~ Maka beberapa orang yang mengira-ngira jumlah semua yang dijanjikan dengan syurga itu bertanya, di manakah lagi seorang? Lalu mereka bertanya kepada Said Bin Zaid : Demi Allah Wahai Abu A’awar! Siapakah dia orang yang kesepuluh itu? Maka Said Bin Zaid pun menjawabnya: Bukankah kamu sendiri telah bersumpah bahawa Abu A’awar itu pun adalah di kalangan mereka yang dijanjikan syurga?“. – Imam Abu ‘Isa (At-Tirmidzie) menyatakan: “Abu A’awar itu sendiri adalah Said Bin Zaid Bin ‘Amru“ . ~ ( Hadis Sahih riwayat Imam At-Tirmidzie, di dalam Kitab Al-Manaqib: 3681 ) dan hadis seumpama ini diriwayatkan juga oleh Imam Abu Dawud rh di dalam sunannya – Kitab As-Sunnah : 4031 dan juga Imam Ahmad – Musnad Al-Ansar : 21, 088 )

Kesimpulannya, 10 orang sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga ialah:

1- Saidina Abu Bakar As-Siddiq (ra).
2- Saidina Umar Al-Khattab (ra).
3- Saidina Utsman Bin Al-‘Affan (ra).
4- Saidina Ali Bin Abu Talib (ra).
5- Saidina Zubair Bin Al-‘Awwam (ra).
6- Saidina Tolhah Bin ‘Ubaidillah (ra).
7- Saidina Abdul Rahman Bin ‘Auf (ra).
8- Saidina Abu ‘Ubaidah ‘Amir Bin Al-Jarrah (ra).
9- Saidina Sa’ad Bin Abu Waqqas (ra).
10- Saidina Sa’id Bin Zaid (ra).

InsyaAllah, sekiranya berkesempatan saya akan kongsikan pula cerita mengenai setiap seorang sahabat Nabi di atas. Mudah-mudahan dengan mengenali mereka kita dapat mencontohi sifat-sifat mereka dan seterusnya mengikut jejak langkah mereka ke syurga. InsyaAllah...

Isnin, Januari 03, 2011

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama

Bismillah...Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...


Adakalanya pada waktu cuti hujung minggu kami suami isteri akan merebut peluang untuk berjoging (atau lebih kepada berjalan-jalan) di sekitar kawasan perumahan kami. InsyaAllah ini salah satu usaha kami untuk mengamalkan cara hidup yang sihat. Sambil berjalan-jalan dapat juga kami menikmati kesegaran udara pada waktu pagi dan juga keindahan alam sekitar ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa. Namun, keindahan itu dicemarkan oleh sampah sarap yang dibuang merata-rata oleh hamba Allah yang tidak bertanggungjawab serta tiada kesedaran sivik. 


Ada suatu masa, sedang saya sibuk bercakap-cakap (membebel.. :p) tentang sampah yang dibuang merata-rata, suami saya berkata, "apa kata Ayang kutip sampah tu". Kemudian saya melihat beliau sambil berkata, "ishh..tak nak lah" kerana saya tidak mahu mengotorkan tangan saya. Suami saya hanya tersenyum sahaja. Pada waktu yang sama, terdetik dalam hati saya, 'apa gunanya saya membebel sahaja tetapi tidak melakukan apa-apa perubahan?'. Sejak dari peristiwa itu saya berhasrat untuk mengutip sampah jika saya berpeluang berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan saya pada waktu yang akan datang.


Pada pagi Jumaat, 31/12/2010, saya mengajak suami saya untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan kami. Walaupun pada mulanya beliau agak keberatan, tetapi akhirnya beliau turuti juga keinginan isteri yang tercinta ini (huhu.. :p). Sebelum keluar dari rumah, sempat saya mencapai 1 sarung tangan plastik, 1 beg plastik sampah serta sebuah kamera kepunyaan suami saya. Kemudian kami pun berjalan-jalan sambil mengutip sampah. 

Lihatlah betapa banyaknya sampah yang kami jumpa sepanjang jalan.



Sehinggakan penuh plastik yang kami bawa. Kami terpaksa berpatah balik ke rumah untuk mengambil plastik lain.


Ini merupakan salah satu punca pembiakan nyamuk aedes yang boleh meragut nyawa sesiapa sahaja yang terkena penyakit demam denggi.


Tepi-tepi jalan juga dijadikan tempat pembuangan sampah. Pemandangan yang amat menyakitkan mata.


Sesungguhnya, saya amat kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah dengan sewenang-wenangnya. Yang menjadi mangsa, bukan mereka sahaja tetapi seluruh dunia. Dunia ini adalah pinjaman dari Allah S.A.W. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Tidak kiralah apa jua bangsa, agama, pangkat, kedudukan atau tahap pendidikan kita, tanggungjawab itu harus kita galas.

Saya berharap dan berazam agar...

~ Saya dapat menjaga alam sekitar dengan sebaik-baiknya.

~ Saya dapat mendidik dan mengajak keluarga saya untuk sama-sama menjadi hamba Allah yang bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar.

~ Saya dapat menyebarkan mesej kesedaran sivik kepada masyarakat bahawa pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama bukan pihak tertentu (kerajaan, DBKL, Alam Flora, Majlis Perbandaran dan lain-lain) sahaja.

~ Saya dapat menganjurkan program berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar satu hari nanti. Alhamdulillah, sekarang sudah bermula dengan diri sendiri dan suami, berjalan-jalan sambil mengutip sampah. InsyaAllah, setelah ada anak kami boleh ajak anak-anak pula untuk bersama-sama menjaga alam sekitar. Kemudian boleh ajak kaum keluarga pula. Berkemungkinan pada masa akan datang kami boleh mengajak penduduk di sekitar taman perumahan, masyarakat sekitar serta seluruh negara pula untuk bersama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Amin ya rabbal 'alamin..

Marilah kita menghayati video di bawah ini sambil bermuhasabah diri samada kita tergolong dalam golongan yang memelihara dan memulihara bumi atau sebaliknya. Wallahu'alam.




Sekian, wassalam... :)

Ahad, Januari 02, 2011

Cuti

Bismillah...Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah, kali ini dapat bercuti agak panjang. 4 hari berturut-turut. 

Jumaat (31/12/2010): Cuti Peristiwa sempena kemenangan pasukan bola sepak negara (Harimau Malaya) menjuarai Piala AFF Suzuki 2010.

Sabtu dan Ahad (1-2/1/2011): Cuti hujung minggu.

Isnin (3/1/2011): Cuti sempena tahun baru 2011 yang jatuh pada hari sabtu digantikan pada hari isnin.

Mudah-mudahan kita dapat memanfaatkan cuti ini sebaik-baiknya. 

Sabda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam :
Rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara,iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum dilanda sakit,masa kaya engkau sebelum jatuh papa,masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk,dan masa hidup engkau sebelum datang saat mati."

Sekian, wallahu'alam. Wassalam...