Memaparkan catatan dengan label Muhasabah Diri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muhasabah Diri. Papar semua catatan

Selasa, November 15, 2011

Perjuangan Antara Hidup & Mati

Alhamdulillah malam tadi saya berkesempatan berusrah dengan Nusaibah (naqibah), Laila & Malia. Seperti biasa usrah kami dimulakan dengan bacaan al-Quran serta terjemahannya. Kemudian diteruskan dengan perbincangan serta soal jawab berkaitan isu Palestin & Israel. Selepas itu Nusaibah membacakan kami sebuah buku bertajuk Khowatir Quraniyyah: Kunci Memahami Surat-surat Al-Quran.

Setelah majlis ditutup, Nusaibah mula membuka topik tentang bersalin. Pesan Nusaibah...Bersalin adalah perjuangan antara hidup dan mati. Ia mungkin permulaan kepada satu kehidupan yang baru atau sebaliknya. Oleh itu, ibu mengandung seharusnya memperbanyakkan taubat, zikir dan membaca al-Quran.

Secara jujurnya, sebelum ini saya belum rasa takut lagi untuk bersalin tetapi apabila Saibah sebut tentang antara hidup & mati, secara tiba-tiba saya rasa takut. Takut apa? Takut MATI! Kenapa takut mati? Mungkin sebab saya rasa saya belum bersedia lagi untuk menghadapi kematian. Sedangkan mati itu adalah pasti. (T__T)

Malam tadi saya bermuhasabah diri...selama ni saya banyak buat persiapan fizikal & mental sahaja. Saya asyik google tentang breastfeeding, cloth diaper, hypnobirthing dan lain-lain. Persiapan secara spiritual pula amat kurang. Selain berdoa, alhamdulillah, Ramadhan lepas saya sudah khatam al-Quran. Selepas itu, saya cuma berkesempatan membaca surah Yusuf & Maryam serta terjemahannya. Banyak lagi surah yang perlu saya baca terjemahannya. Mudah-mudahan masih sempat.

Pagi ni, bangun dari tidur saya terfikir.. Apa yang saya mahu lakukan sebelum saya meninggal dunia? Hurmmm.. Fikir, fikir, fikir!




Selasa, Oktober 04, 2011

Muhasabah Diri: Sempurnakah Penutupan Aurat Kita?

Sumber: FB Page Ustaz Zamri



Pagi tadi saya terjumpa gambar ini di FB News Feed. Lantas saya kongsikan gambar ini di Wall FB saya agar saya dan rakan-rakan dapat sama-sama menilai diri samaada pakaian kita menutup aurat dengan sempurna atau tidak. 


Saya teringat kata-kata suami saya yang begitu menusuk kalbu. Katanya, "bukan abang yang tak approve tetapi Allah!". Aduh...sesungguhnya saya insaf mendengar ayat itu. (-__-")

Semoga Allah memberi kekuatan pada kita untuk sentiasa menutup dan menjaga aurat dengan sempurna. Amin...

Khamis, Ogos 18, 2011

Muhasabah Ramadhan

Hari ini 18 Ramadhan 1432H bersamaan 18 Ogos 2011M.

Alhamdulillah, sudah 18 hari kita berpuasa. Hanya 11 hari sahaja berbaki. Masih ada peluang untuk kita menambah amal ibadah serta mengejar Lailatul Qadar. Mari kita bermuhasabah Ramadhan:

1) Puasa:

InsyaAllah tahun ini saya berpeluang untuk berpuasa penuh dan Alhamdulillah, setakat ini masih belum tinggal puasa lagi. :) Oh, ya..tahun lepas juga saya berpuasa penuh sebab 'period' saya datang lambat. :)

2) Solat Sunat Tarawikh:

Alhamdulillah setakat ini masih belum tinggal lagi Solat Tarawikh. Hanya malam pertama sahaja saya solat tarawikh di surau. Selebihnya saya solat di rumah sahaja (kecuali malam semalam solat di Masjid di Klang). Tidak larat mahu ke surau. Selepas berbuka puasa, perut saya sangat tegang (dek kerana 'baby' + makanan + minuman). Selain itu, saya tidak boleh berdiri lama-lama, kepala saya akan jadi pening dan degupan jantung pula akan jadi tersangat laju sehinggakan adakalanya terasa hampir pengsan/pitam. Jadi, lebih baik saya berterawikh di rumah sahaja. Saya boleh melakukan ibadah terawikh mengikut kemampuan saya sendiri. Boleh buat perlahan-lahan atau laju-laju (semasa berdiri), boleh berehat di antara 2 rakaat, dan juga boleh buat secara berdiri ataupun duduk. Yang penting, tidak tinggal tarawikh.

3) Khatam Al-Quran:

Antara azam Ramadhan saya tahun ini (dan tahun lepas juga) ialah mengkhatamkan 30 juz al-Quran. Setakat ini baru sampai 18 Juz. Alhamdulillah, rasanya masih lagi 'on track' cuma saya harus melipat gandakan lagi usaha saya agar azam ini tercapai (tahun lepas azam ini tidak tercapai walaupun saya berpuasa penuh.. :-( ) Ramadhan tahun ini 29 hari sahaja. Jadi, saya harus membaca 'advance' sekurang-kurangnya 1 juz supaya di akhir-akhir Ramadhan nanti tidak kelam kabut. Nazrah, berusahalah! 'Action Plan' saya ialah, saya mesti baca al-Quran pada waktu di bawah:
i) Selepas subuh
ii) Sebelum/selepas zuhur
iii) Selepas maghrib/isyak
iv) Di dalam kereta (sekiranya suami yang memandu)
v) Waktu lapang terutama di hari minggu

3) Katakan TIDAK kepada buffet Ramadhan:

Tahun ini kami (saya dan suami) berazam untuk tidak makan buffet Ramadhan. (Sebenarnya saya yang mencadangkan pada suami supaya suami saya boleh mengingatkan saya. Sebab suami saya sangat baik hati dan sangat sayangkan saya. Kalau saya ajak sahaja, mesti beliau bersetuju. Huhu..) Tujuannya ialah untuk menjimatkan duit. Lagipun, kalau makan di rumah pun sudah kenyang. Apatah lagi makan buffet Ramadhan. Pasti terlebih kenyang. Adakalanya makanan yang mampu dimakan pun harganya tidak sampai kepada harga buffet. Jadi, lebih baik jangan makan buffet. Hehe..

4) Kurangkan makan di luar:

Setakat ini, baru sekali kami ke Bazar Ramadhan (di belakang McD Equine). Itupun, alhamdulillah beli mana yang patit sahaja. Tiada pembaziran berlaku, alhamdulillah. Selain itu, baru sekali sahaja kami berbuka di luar iaitu di Malee Tom Yam Dengkil. Itupun kerana saya mahu makan Tom Yam yang sedap (sudah bosan dengan masakan Tom Yam sendiri), saya penat, lapar dan tidak larat mahu memasak. Macam-macam makanan yang kami pesan. Alhamdulillah, semuanya habis dimakan. Tiada pembaziran berlaku. Walaupun bilnya agak mahal (RM70++) tetapi saya rasa berbaloi. Apa tidaknya, kami pesan nasi 2 pinggan, ikan besar masak 3 rasa, tom yam pottek, kerabu mangga, kailan goreng ikan masin, telur dadar, air tembikai, air fresh orange dan juga air kosong. Banyak kan? Huhu..

Hemm..rasanya setakat ini sahaja dahulu muhasabah Ramadhan saya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang terdahulu. Wallahu'alam.

Isnin, Julai 11, 2011

Selamat Hari Lahir?

Hari ini, tanggal 11 Julai 2011, genap umurku 28 tahun.

Perasaanku? SYUKUR, alhamdulillah..aku bahagia..

Sesungguhnya aku amat bersyukur pada Allah atas segala nikmat yang diberikanNya padaku.

Buktinya? Suamiku bertanya.."Ayang nak apa-apa tak untuk birthday kali ni?". Jawabku.."Tak nak apa-apa. Ayang dah ada abang, ada baby (dalam perut)." Lantas suamiku menjawab, "Ok, nanti birthday abang, abang nak iPad tau. Haha..", gurau suamiku. Tergelak aku dibuatnya.

Sesungguhnya, aku bahagia. Aku bahagia dengan kehidupanku sekarang. 

Persoalannya, adakah aku juga akan bahagia di akhirat kelak??

Berbahagia di syurga Allah yang kekal abadi itu lebih utama dari kebahagiaan yang ku alami sekarang. Aku ingin terus berbahagia bersama suamiku dan keluarga kami di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Alhamdulillah, aku masih punya masa untuk mengumpul bekalan ke akhirat. Moga dengan pertambahan usiaku ini, akan bertambah banyaklah amal ibadahku. Walaupun umurku bertambah tetapi hakikatnya usiaku semakin singkat. Ini bermakna, masa untukku mengumpul amalan juga semakin berkurang. Moga aku dapat memanfaatkan masa yang masih ada ini. Amin Ya Rabbal A'lamin..


Khamis, Mac 31, 2011

Muhasabah Diri | Bermonolog dengan diri sendiri


Umurku sudah hampir menjangkau 28 tahun. Lagi 2 tahun, aku akan berumur 30 tahun. Ini bermakna, masaku di dunia ini sudah semakin singkat. Aku sudah menghampiri alam barzakh. Kemudian aku akan berada di alam tersebut sehinggalah hari kiamat. Setelah aku berada di alam barzakh, tiada lagi amalan yang boleh kulakukan melainkan mengharapkan amalan-amalan yang telah ku lakukan di dunia ini. Itupun, hanya 3 amalan sahaja yang berterusan iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat serta amal jariah.

Sehingga kini, aku masih belum punya anak. Kalau ada pun, adakah anakku akan jadi anak yang soleh/solehah? Jikalau soleh pun, adakah anakku itu akan ingat untuk mendoakan ku? Aduhhh..nampaknya aku tidak boleh bergantung atau berharap pada amalan nombor satu itu.

Bagaimana pula dengan ilmu yang bermanfaat? Ya, aku ada belajar ilmu yang bermanfaat. Ilmu-ilmu yang ku pelajari semasa di sekolah, di universiti, di dalam usrah, di kelas tajwid, ilmu-ilmu yang kudengari di radio, tv atau ceramah di surau, juga ilmu-ilmu yang ku dapat dari pembacaan. Tetapi, adakah aku mengamalkan apa telah kupelajari? Adakah aku sampaikan pada yang lain? Sekiranya aku sampaikan, adakah ilmu yang kusampaikan itu betul, adakah mereka yang mendapat ilmu dariku memanfaatkannya atau ia terhenti setakat itu sahaja? Oh, bagaimana ya? Nampaknya aku perlu lebih berusaha untuk belajar dan beramal dengan ilmuku, mengajar serta menyampaikan ilmu tersebut pada yang lain, pada seramai mungkin. Mudah-mudahan ada yang terus-terusan mengamalkannya. Dan mudah-mudahan amalan-amalan itu sampai kepadaku setelah aku meninggal dunia nanti.

Amalan yang ketiga pula ialah amal jariah yang berterusan. Hemm..terfikir sebentar..adakah apa-apa amal jariah yang pernah kulakukan? Jika ada pun, adakah ianya berterusan? Atau adakah ianya terhenti setakat itu sahaja?

Aduhai..bagaimana ini? Umurku semakin singkat tetapi bekalanku belum cukup lagi. Oh, tidak! Saya sudah kesuntukan masa! (-__-") Huwaaaa... ;-(

Huh..tetiba terasa gerun di hatiku..bagaimana jika hari ini adalah hari terakhir bagiku? Apa yang akan ku bawa ke sana? Dosaku banyak. Aku belum cukup bertaubat lagi. Huwaaaaa...tolong aku! Eh, siapa yang boleh tolong aku dalam hal sebegini? Hanya Allah dan diri ku sahaja yang mampu membantu diriku sendiri. Tolong Ya Allah, berikanlah kesempatan pada hambaMu ini..

Badanku terasa lemah, longlai..langkahku lesu memikirkan perkara ini. Adakah aku masih punya masa?

*********
Ya, usah berputus asa Nazrahku, kau masih punya masa! Selagi nyawamu belum sampai ke halkum, selaki itulah kau masih punya peluang untuk bertaubat, membuat amal ibadah serta mengumpul bekalan untuk kau bawa ke alam barzakh..ke akhirat..dan ke syurga yang kekal abadi.

Oleh itu, gunakanlah masa yang masih ada ini sebaik mungkin. Manfaatkannya sehabis baik. Usah kau baziri walau sesaat kerana di dunia ini sahajalah tempat untuk kau beramal. Di dunia ini sajalah tempat untuk kau bercucuk tanam. Maka, bercucuk tanamlah. Kemudian, jaga dan bajailah tanamanmu itu sebaik mungkin. Mudah-mudahan kau dapat menikmati hasilnya nanti semasa di alam barzakh, di alam akhirat dan seterusnya di syurga yang kekal abadi itu.
*********

Ahh..ya lah..aku masih punya masa! Terima kasih wahai sahabat. InsyaAllah akan ku hargai masa yang masih ada ini.