Isnin, Januari 03, 2011

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama

Bismillah...Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...


Adakalanya pada waktu cuti hujung minggu kami suami isteri akan merebut peluang untuk berjoging (atau lebih kepada berjalan-jalan) di sekitar kawasan perumahan kami. InsyaAllah ini salah satu usaha kami untuk mengamalkan cara hidup yang sihat. Sambil berjalan-jalan dapat juga kami menikmati kesegaran udara pada waktu pagi dan juga keindahan alam sekitar ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa. Namun, keindahan itu dicemarkan oleh sampah sarap yang dibuang merata-rata oleh hamba Allah yang tidak bertanggungjawab serta tiada kesedaran sivik. 


Ada suatu masa, sedang saya sibuk bercakap-cakap (membebel.. :p) tentang sampah yang dibuang merata-rata, suami saya berkata, "apa kata Ayang kutip sampah tu". Kemudian saya melihat beliau sambil berkata, "ishh..tak nak lah" kerana saya tidak mahu mengotorkan tangan saya. Suami saya hanya tersenyum sahaja. Pada waktu yang sama, terdetik dalam hati saya, 'apa gunanya saya membebel sahaja tetapi tidak melakukan apa-apa perubahan?'. Sejak dari peristiwa itu saya berhasrat untuk mengutip sampah jika saya berpeluang berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan saya pada waktu yang akan datang.


Pada pagi Jumaat, 31/12/2010, saya mengajak suami saya untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan kami. Walaupun pada mulanya beliau agak keberatan, tetapi akhirnya beliau turuti juga keinginan isteri yang tercinta ini (huhu.. :p). Sebelum keluar dari rumah, sempat saya mencapai 1 sarung tangan plastik, 1 beg plastik sampah serta sebuah kamera kepunyaan suami saya. Kemudian kami pun berjalan-jalan sambil mengutip sampah. 

Lihatlah betapa banyaknya sampah yang kami jumpa sepanjang jalan.



Sehinggakan penuh plastik yang kami bawa. Kami terpaksa berpatah balik ke rumah untuk mengambil plastik lain.


Ini merupakan salah satu punca pembiakan nyamuk aedes yang boleh meragut nyawa sesiapa sahaja yang terkena penyakit demam denggi.


Tepi-tepi jalan juga dijadikan tempat pembuangan sampah. Pemandangan yang amat menyakitkan mata.


Sesungguhnya, saya amat kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah dengan sewenang-wenangnya. Yang menjadi mangsa, bukan mereka sahaja tetapi seluruh dunia. Dunia ini adalah pinjaman dari Allah S.A.W. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Tidak kiralah apa jua bangsa, agama, pangkat, kedudukan atau tahap pendidikan kita, tanggungjawab itu harus kita galas.

Saya berharap dan berazam agar...

~ Saya dapat menjaga alam sekitar dengan sebaik-baiknya.

~ Saya dapat mendidik dan mengajak keluarga saya untuk sama-sama menjadi hamba Allah yang bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar.

~ Saya dapat menyebarkan mesej kesedaran sivik kepada masyarakat bahawa pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama bukan pihak tertentu (kerajaan, DBKL, Alam Flora, Majlis Perbandaran dan lain-lain) sahaja.

~ Saya dapat menganjurkan program berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar satu hari nanti. Alhamdulillah, sekarang sudah bermula dengan diri sendiri dan suami, berjalan-jalan sambil mengutip sampah. InsyaAllah, setelah ada anak kami boleh ajak anak-anak pula untuk bersama-sama menjaga alam sekitar. Kemudian boleh ajak kaum keluarga pula. Berkemungkinan pada masa akan datang kami boleh mengajak penduduk di sekitar taman perumahan, masyarakat sekitar serta seluruh negara pula untuk bersama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Amin ya rabbal 'alamin..

Marilah kita menghayati video di bawah ini sambil bermuhasabah diri samada kita tergolong dalam golongan yang memelihara dan memulihara bumi atau sebaliknya. Wallahu'alam.




Sekian, wassalam... :)

Tiada ulasan: