Selasa, Disember 27, 2011

Alhamdulillah..alhamdulillah..alhamdulillah..

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.

Rasanya berjuta-juta, berbillion-billion alhamdulillah pun tak cukup untuk menggambarkan betapa bersyukurnya saya dengan segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada saya.

Alhamdulillah, saya sudah selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 11 Disember 2011. Alhamdulillah, segala-galanya mudah dan berjalan lancar. Sangat mudah saya melahirkannya. Sekali teran sudah keluar. Alhamdulillah, anak saya sihat dan sempurna. Rezekinya juga murah, melimpah ruah. Sangat banyak susu saya keluar sehingga basah baju. Alhamdulillah, bayi saya juga tidak kena kuning. Mungkin kerana susu saya yang banyak dan dia juga rajin menyusu. Alhamdulillah, anak saya tidak banyak ragam. Mudah menjaganya. Dia menangis atau berjaga malam setiap kali nak menyusu sahaja.

Alhamdulillah, saya dikurniakan suami yang sangat memahami, prihatin, bertanggungjawab...(opss..cukup..tak boleh puji lebih-lebih..nanti beliau kembang. Huhu..). Sejak saya mengandung lagi beliau banyak membantu saya, melayan kerenah saya, membawa atau membelikan saya makanan yang saya mahu makan dan macam-macam lagi. Semasa dalam proses melahirkan anak juga beliau sangat membantu. Kehadiran beliau di labour room sangat bermakna untuk saya.

Selepas melahirkan anak, beliaulah yang menjaga saya dan anak kami di hospital, juga di rumah. Beliaulah yang tolong pakaikan stokin untuk saya, tolong ambilkan makanan atau apa-apa barang yang saya mahu, mendengar luahan atau apa-apa cerita saya, tolong basuhkan pad (semasa di hospital saya sangat tidak larat untuk membongkok atau berdiri lama), tolong sediakan air mandi dan air rendaman untuk saya, tolong sediakan tungku untuk saya, tolong mandi dan siapkan baby setiap pagi dan petang, tolong hulurkan baby bila baby nak menyusu dan macam-macam lagi. Bila difikir-fikir semula pengorbanan beliau, saya rasa sangat terharu. Rasa macam nak nangis pun ada. Mudah-mudahan saya boleh, mampu, dapat menjadi isteri yang lebih baik buat beliau selepas ini.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.. Moga nikmat-nikmat tersebut lebih mendekatkan saya padaNya dan menjadikan saya hamba yang lebih baik. Amin Ya Mujib...


Jumaat, Disember 16, 2011

Diari Kehamilanku ^__^

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...


P/s: Entri ini akan sentiasa berada di atas sehinggalah saya selamat melahirkan bayi di dalam kandungan saya ini. Untuk entri terkini, boleh 'scroll' ke bawah. Terima kasih. :)



Doa Mudah Bersalin dan Kesejahteraan Anak Dalam Kandungan

Ya Allah, peliharalah anakku selama ia berada di dalam kandunganku dan sihatkanlah dia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penawar melainkan penawar-Mu, penawar yang tidak meninggalkan penyakit. Ya Allah, Engkau perelokkanlah kejadiannya yang sempurna dan tetapkanlah hatinya agar beriman kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu. Ya Allah, zahirkanlah dia ke dunia dengan mudah dan selamat. Ya Allah, anugerahkanlah dia kesihatan yang sempurna, berakal dan bijaksana, alim dan beramal. Ya Allah, panjangkanlah umurnya dalam ketaatan, sihatkanlah tubuh badannya, dan indahkanlah akhlaknya, fasihkanlah lidahnya, perelokkanlah suaranya untuk membaca al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhamad s.a.w. dan segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam.


Lilypie Pregnancy tickers

Lilypie Maternity tickers






Jumaat, Disember 09, 2011

Alhamdulillah, encik suami sudah boleh main game! :)

Malam tadi selepas maghrib secara tiba-tiba encik suami diserang asma yang agak teruk. Sampaikan saya kena bawa beliau ke klinik. Di klinik jururawat beri beliau sedut nebulizer. Selepas itu barulah ok. Balik rumah, selepas makan ubat beliau sudah boleh main game. Alhamdulillah, syukur...

Kesimpulannya, selepas ini bersyukurlah sekiranya suami anda main game. Sebab itu tandanya dia SIHAT! Kalau tak sihat, nak main game pun tak boleh. :)

Selasa, November 15, 2011

Perjuangan Antara Hidup & Mati

Alhamdulillah malam tadi saya berkesempatan berusrah dengan Nusaibah (naqibah), Laila & Malia. Seperti biasa usrah kami dimulakan dengan bacaan al-Quran serta terjemahannya. Kemudian diteruskan dengan perbincangan serta soal jawab berkaitan isu Palestin & Israel. Selepas itu Nusaibah membacakan kami sebuah buku bertajuk Khowatir Quraniyyah: Kunci Memahami Surat-surat Al-Quran.

Setelah majlis ditutup, Nusaibah mula membuka topik tentang bersalin. Pesan Nusaibah...Bersalin adalah perjuangan antara hidup dan mati. Ia mungkin permulaan kepada satu kehidupan yang baru atau sebaliknya. Oleh itu, ibu mengandung seharusnya memperbanyakkan taubat, zikir dan membaca al-Quran.

Secara jujurnya, sebelum ini saya belum rasa takut lagi untuk bersalin tetapi apabila Saibah sebut tentang antara hidup & mati, secara tiba-tiba saya rasa takut. Takut apa? Takut MATI! Kenapa takut mati? Mungkin sebab saya rasa saya belum bersedia lagi untuk menghadapi kematian. Sedangkan mati itu adalah pasti. (T__T)

Malam tadi saya bermuhasabah diri...selama ni saya banyak buat persiapan fizikal & mental sahaja. Saya asyik google tentang breastfeeding, cloth diaper, hypnobirthing dan lain-lain. Persiapan secara spiritual pula amat kurang. Selain berdoa, alhamdulillah, Ramadhan lepas saya sudah khatam al-Quran. Selepas itu, saya cuma berkesempatan membaca surah Yusuf & Maryam serta terjemahannya. Banyak lagi surah yang perlu saya baca terjemahannya. Mudah-mudahan masih sempat.

Pagi ni, bangun dari tidur saya terfikir.. Apa yang saya mahu lakukan sebelum saya meninggal dunia? Hurmmm.. Fikir, fikir, fikir!




Sabtu, Oktober 29, 2011

Gedix In Action!

Introducing...Si Gedix!


Gedix adalah kucing yang cerdik! Semenjak saya mengandung, kami melarang Gedix dari masuk ke rumah kerana risaukan virus toxoplasma yang merbahaya untuk ibu dan kandungan. Jadi semenjak itu Gedix takkan masuk ke rumah kami kecuali kalau ada kucing putih yang mengganggunya. Itupun, Gedix hanya akan masuk dan bersembunyi di sebalik langsir. Kucing yang mendengar kata, bijak! Sayang Gedix! :)

Sabtu, Oktober 22, 2011

Diari Kehamilanku: Minggu 32

Pukul 12 lebih kami bertolak ke An-Nur sebab Encik Suami pergi kerja dahulu. Sampai di An-Nur, pukul 12.40 tengahari. Rupa-rupanya Dr. Khamsiah sudah mahu pulang sebab semua appointment klinikalnya sudah habis. Mujur kami sempat sampai sebelum doktor pulang. Huhu..

Sampai sahaja di sana jururawat terus panggil untuk periksa tekanan darah & berat. Itupun dia buat laju-laju sebab doktor suruh masuk bilik terus. Tak sempat nak periksa air kencing.

Masuk dalam, seperti biasa doktor suruh baring untuk scan. Sebelum scan doktor cakap, "hopefully kepala baby sudah di bawah". Tetapi kepala bayi masih di atas. Doktor nasihatkan supaya sujud lama-lama, ia boleh membantu bayi untuk turun ke bawah. Kata doktor, kalau kepala baby tidak turun-turun, semasa bersalin nanti perlu ceaser. Jadi saya perlu fikir di mana mahu bersalin. Huhu..

Saya cuma mampu berusaha dan berdoa. Sudah mohon pada mak juga supaya mendoakan agar kepala baby turun ke bawah. Mudah-mudahan berkat doa mak di Mekah, kepala baby saya turun ke bawah dan dapatlah saya bersalin secara normal. Mohon doa rakan-rakan juga. Amin...


Statistik minggu 32:
Tekanan darah: Normal
Berat terkini (ibu): 67.7 kg (naik 1.7kg)
Berat terkini (bayi): 1.7 kg (naik 0.4kg)
Keadaan bayi: Sihat tetapi kedudukan masih songsang.

Diari Kehamilanku: FAQ

Sepanjang tempoh hamil ni ada beberapa soalan popular yang orang suka tanya. Antaranya ialah:

1)
Q: Sudah berapa bulan?
A: Jawapannya bergantung pada bila ditanya. Sekarang sudah 8 bulan! :)

2)
Q: Bila due?
A: InsyaAllah, 16 Disember 2011.

3)
Q: Dah scan? Boy ke girl?
A: Sudah, doktor kata insyaAllah girl.

4)
Q: Ada alahan/muntah-muntah tak?
A: Masa trimester pertama ada tapi tak teruk sangat. Sikit-sikit sahaja. Cuma tak boleh makan sardin, daging dan susu. Kalau makan, akan muntah. Bila masuk trimester kedua sudah ok. Boleh makan apa sahaja.

5)
Q: Berat banyak naik?
A: Masa trimester pertama & kedua, naik lebih kurang 1 kg sebulan. Masa raya naik 2 kg sebulan. Masa trimester ketiga:
Minggu 27 - 30: Naik 4kg sebulan.
Minggu 30 - 32: Naik 1.7kg dalam masa 2 minggu.

6)
Q: Sakit tak? (soalan semasa trimester ketiga)
A: Biasalah, sakit pinggang, pinggul, punggung.

Selain soalan-soalan di atas, antara perkara yang orang suka buat ialah sentuh/pegang perut. Ada yang tanya dahulu, ada yang terus pegang tapi saya tidak kisah pun. Sebelum ni saya pun ada keinginan untuk menyentuh perut orang yang mengandung cuma saya segan. Huhu..