Isnin, Ogos 22, 2011

Ku bahagia.. ^__^


Ku bahagia

Alhamdulillah, saya bahagia dengan perkahwinan saya. Encik Suami bukan sahaja seorang yang bertanggungjawab, baik hati, malah beliau juga seorang yang kelakar. Berikut saya catatkan beberapa situasi supaya saya, suami dan anak-anak kami boleh membacanya di masa hadapan.. :)


Situasi 1:

Sedang saya membaca Al-Quran di dalam Masjid Putrajaya, saya mendapat sms dari Encik Suami..."abg yg hensem tunggu kat luar". Saya meneruskan pembacaan saya yang masih berbaki dan kemudian keluar.

Kemudian saya pun mencari Encik Suami di luar. Dari jauh saya sudah nampak Encik Suami sedang duduk di sebuah kerusi yang disediakan di luar masjid. Dia sedang cuba menyembunyikan diri di sebalik pokok bunga kertas di sebelah kerusi yang didudukinya. Saya cuma tersenyum. Saya mendekati sambil berkata,"Abang, abang tu bukannya kecil nak menyorok belakang pokok tu." Kemudian dia pun bangun sambil tersengih-sengih. Kami berjalan beriringan sambil berbual..

Saya: Abang, ayang tengah cari seseorang ni..
Suami: Ohh..orang yang hensem tu ya?
Saya: A'ah, abang nampak tak?
Suami: Abang tak nampak dia. Abang kena tengok cermin baru boleh nampak.
Kami: Hahaha... (kami tertawa bersama2..)
Saya: Ohh..kalau macam tu, apa kata abang tengok bawah..tengok perut dia yang tak berape nak hensem tu...huhuhu..
Suami: Hahaha..


Situasi 2:

Selepas mengerjakan solat maghrib, kami pun duduk berehat sementara menunggu pukul 8.30 malam.

Suami: Ayang, tengok ni..perut abang dah kempis... (sambil tersengih-sengih)
Saya: (Sambil buat muka) Ye ke dah kempis?
Suami: Betul, seluar abang dah longgar...tu seluar hitam tu.. (sambil menunjuk ke arah seluar hitam di atas katil)
Saya: (Masih sangsi) Longgar camne tu?
Suami: Longgarlah...abang boleh rasa la dah longgar..sebab tu abang pakai tali pinggang...
Saya: Ohh..abang je la boleh rasa? Orang lain tak nampak lagi la ek? Maksudnya masih ada la daging terkeluar2 (muffin top) cuma dah tak ketat macam dulu? Hihi..
Suami: A'ah..hehehe... (sambil tersengih-sengih)
Saya: Hahahaha...itu bukan longgar la abang...kalau longgar ada ruang antara perut dan seluar...
Suami: Haaa..kain pelikat abg longgar... (Sengih-sengih lagi)
Saya: Hahahahaha...kain pelikat memanglah longgar...
Kami: Hahahahaha... (kami tertawa bersama2..)

Sangat lawak okeh..sampai sakit perut saya dibuatnya. Suami saya memang lawak orangnya..nampak sahaja macam pendiam..huhuhu.. Dahulu, sebelum kahwin saya agak risau sebenarnya. Saya hanya mengenalinya dari jauh. Dan dia amat terkenal dengan ke'pendiam'annya. Saat itu, saya terfikir, macam manalah agaknya kami selepas kahwin. Kalau senyap sahaja pasti bosan. Sampaikan saya terpaksa 'google' "cara bercakap dengan suami yang pendiam". Huhuhu..

Tetapi selepas berkahwin, barulah saya tahu, dia bukanlah pendiam sangat pun. Dia pendiam dengan orang yang tak berapa rapat/dikenali sahaja. Alhamdulillah, kami 'sekepala'. Jadi tiada masalah langsung untuk kami berkomunikasi, bergurau senda dan sebagainya. Malah, hidup saya lebih ceria selepas saya berkahwin dengan Haarith Mahmud yang kononnya pendiam itu. Huhuhu...

P/S: Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah yang menjodohkan saya dengan Haarith Mahmud. Sesungguhnya Allah tahu apa yang terbaik buat hambaNya dan dia adalah yang terbaik buat saya. :)

Mimpi Indah

Alhamdulillah, kandungan saya sudah berusia 23 minggu dan insyaAllah beberapa hari lagi masuk 24 minggu, iaitu 6 bulan! ^__^

Dan alhamdulillah juga, minggu lepas kolostrum saya sudah mula keluar! Semasa mandi, saya membersihkan Cik P dan secara tiba-tiba keluar cecair kuning, iaitu kolostrum. Saya rasa sangat teruja dan juga pelik. Teruja sebab itu tandanya saya boleh menyusukan bayi saya sejurus selepas saya melahirkannya. Pelik sebab saya terfikir, tidak terlalu awalkah untuk kolustrum keluar? Tetapi setelah saya 'google', rupa-rupanya adalah normal untuk kolostrum keluar seawal 20 minggu. Alhamdulillah... ^__^

Malam tadi pula saya mimpi indah! Dalam mimpi tersebut, saya menyusukan dua bayi kembar lelaki yang kecil dan comel! Walaupun saya kelihatan agak kekok ketika memegang bayi tersebut tetapi saya berjaya menyusukan mereka dengan jayanya! Oh, ya..selain dari dua bayi kembar itu, ada seorang lagi bayi yang berumur dalam lingkungan setahun lebih sedang menghadap saya sambil memerhatikan saya menyusukan bayi kembar itu. Rasa sangat teruja dan gembira dengan mimpi itu! Kalau mimpi itu jadi kenyataan, best juga kan? Hehe.. ^__^

Apa-apa pun, Allah Maha Mengetahui. Mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan untuk menyusukan bayi saya yang bakal dilahirkan pada Disember ini, insyaAllah. 

Khamis, Ogos 18, 2011

Muhasabah Ramadhan

Hari ini 18 Ramadhan 1432H bersamaan 18 Ogos 2011M.

Alhamdulillah, sudah 18 hari kita berpuasa. Hanya 11 hari sahaja berbaki. Masih ada peluang untuk kita menambah amal ibadah serta mengejar Lailatul Qadar. Mari kita bermuhasabah Ramadhan:

1) Puasa:

InsyaAllah tahun ini saya berpeluang untuk berpuasa penuh dan Alhamdulillah, setakat ini masih belum tinggal puasa lagi. :) Oh, ya..tahun lepas juga saya berpuasa penuh sebab 'period' saya datang lambat. :)

2) Solat Sunat Tarawikh:

Alhamdulillah setakat ini masih belum tinggal lagi Solat Tarawikh. Hanya malam pertama sahaja saya solat tarawikh di surau. Selebihnya saya solat di rumah sahaja (kecuali malam semalam solat di Masjid di Klang). Tidak larat mahu ke surau. Selepas berbuka puasa, perut saya sangat tegang (dek kerana 'baby' + makanan + minuman). Selain itu, saya tidak boleh berdiri lama-lama, kepala saya akan jadi pening dan degupan jantung pula akan jadi tersangat laju sehinggakan adakalanya terasa hampir pengsan/pitam. Jadi, lebih baik saya berterawikh di rumah sahaja. Saya boleh melakukan ibadah terawikh mengikut kemampuan saya sendiri. Boleh buat perlahan-lahan atau laju-laju (semasa berdiri), boleh berehat di antara 2 rakaat, dan juga boleh buat secara berdiri ataupun duduk. Yang penting, tidak tinggal tarawikh.

3) Khatam Al-Quran:

Antara azam Ramadhan saya tahun ini (dan tahun lepas juga) ialah mengkhatamkan 30 juz al-Quran. Setakat ini baru sampai 18 Juz. Alhamdulillah, rasanya masih lagi 'on track' cuma saya harus melipat gandakan lagi usaha saya agar azam ini tercapai (tahun lepas azam ini tidak tercapai walaupun saya berpuasa penuh.. :-( ) Ramadhan tahun ini 29 hari sahaja. Jadi, saya harus membaca 'advance' sekurang-kurangnya 1 juz supaya di akhir-akhir Ramadhan nanti tidak kelam kabut. Nazrah, berusahalah! 'Action Plan' saya ialah, saya mesti baca al-Quran pada waktu di bawah:
i) Selepas subuh
ii) Sebelum/selepas zuhur
iii) Selepas maghrib/isyak
iv) Di dalam kereta (sekiranya suami yang memandu)
v) Waktu lapang terutama di hari minggu

3) Katakan TIDAK kepada buffet Ramadhan:

Tahun ini kami (saya dan suami) berazam untuk tidak makan buffet Ramadhan. (Sebenarnya saya yang mencadangkan pada suami supaya suami saya boleh mengingatkan saya. Sebab suami saya sangat baik hati dan sangat sayangkan saya. Kalau saya ajak sahaja, mesti beliau bersetuju. Huhu..) Tujuannya ialah untuk menjimatkan duit. Lagipun, kalau makan di rumah pun sudah kenyang. Apatah lagi makan buffet Ramadhan. Pasti terlebih kenyang. Adakalanya makanan yang mampu dimakan pun harganya tidak sampai kepada harga buffet. Jadi, lebih baik jangan makan buffet. Hehe..

4) Kurangkan makan di luar:

Setakat ini, baru sekali kami ke Bazar Ramadhan (di belakang McD Equine). Itupun, alhamdulillah beli mana yang patit sahaja. Tiada pembaziran berlaku, alhamdulillah. Selain itu, baru sekali sahaja kami berbuka di luar iaitu di Malee Tom Yam Dengkil. Itupun kerana saya mahu makan Tom Yam yang sedap (sudah bosan dengan masakan Tom Yam sendiri), saya penat, lapar dan tidak larat mahu memasak. Macam-macam makanan yang kami pesan. Alhamdulillah, semuanya habis dimakan. Tiada pembaziran berlaku. Walaupun bilnya agak mahal (RM70++) tetapi saya rasa berbaloi. Apa tidaknya, kami pesan nasi 2 pinggan, ikan besar masak 3 rasa, tom yam pottek, kerabu mangga, kailan goreng ikan masin, telur dadar, air tembikai, air fresh orange dan juga air kosong. Banyak kan? Huhu..

Hemm..rasanya setakat ini sahaja dahulu muhasabah Ramadhan saya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang terdahulu. Wallahu'alam.

My Wishlist

Below is my wishlist for current pregnancy:

1) Medela Freestyle Handsfree Breastpump (MyBreastPumpShop, FaheemWardrobe)

2) Attending Antenatal Class (Organized by An-Nur Specialist Hospital)

3) Attending Breastfeeding Class (Organized by SusuIbu.com)

Isnin, Julai 11, 2011

Selamat Hari Lahir?

Hari ini, tanggal 11 Julai 2011, genap umurku 28 tahun.

Perasaanku? SYUKUR, alhamdulillah..aku bahagia..

Sesungguhnya aku amat bersyukur pada Allah atas segala nikmat yang diberikanNya padaku.

Buktinya? Suamiku bertanya.."Ayang nak apa-apa tak untuk birthday kali ni?". Jawabku.."Tak nak apa-apa. Ayang dah ada abang, ada baby (dalam perut)." Lantas suamiku menjawab, "Ok, nanti birthday abang, abang nak iPad tau. Haha..", gurau suamiku. Tergelak aku dibuatnya.

Sesungguhnya, aku bahagia. Aku bahagia dengan kehidupanku sekarang. 

Persoalannya, adakah aku juga akan bahagia di akhirat kelak??

Berbahagia di syurga Allah yang kekal abadi itu lebih utama dari kebahagiaan yang ku alami sekarang. Aku ingin terus berbahagia bersama suamiku dan keluarga kami di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Alhamdulillah, aku masih punya masa untuk mengumpul bekalan ke akhirat. Moga dengan pertambahan usiaku ini, akan bertambah banyaklah amal ibadahku. Walaupun umurku bertambah tetapi hakikatnya usiaku semakin singkat. Ini bermakna, masa untukku mengumpul amalan juga semakin berkurang. Moga aku dapat memanfaatkan masa yang masih ada ini. Amin Ya Rabbal A'lamin..


Khamis, Mac 31, 2011

Muhasabah Diri | Bermonolog dengan diri sendiri


Umurku sudah hampir menjangkau 28 tahun. Lagi 2 tahun, aku akan berumur 30 tahun. Ini bermakna, masaku di dunia ini sudah semakin singkat. Aku sudah menghampiri alam barzakh. Kemudian aku akan berada di alam tersebut sehinggalah hari kiamat. Setelah aku berada di alam barzakh, tiada lagi amalan yang boleh kulakukan melainkan mengharapkan amalan-amalan yang telah ku lakukan di dunia ini. Itupun, hanya 3 amalan sahaja yang berterusan iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat serta amal jariah.

Sehingga kini, aku masih belum punya anak. Kalau ada pun, adakah anakku akan jadi anak yang soleh/solehah? Jikalau soleh pun, adakah anakku itu akan ingat untuk mendoakan ku? Aduhhh..nampaknya aku tidak boleh bergantung atau berharap pada amalan nombor satu itu.

Bagaimana pula dengan ilmu yang bermanfaat? Ya, aku ada belajar ilmu yang bermanfaat. Ilmu-ilmu yang ku pelajari semasa di sekolah, di universiti, di dalam usrah, di kelas tajwid, ilmu-ilmu yang kudengari di radio, tv atau ceramah di surau, juga ilmu-ilmu yang ku dapat dari pembacaan. Tetapi, adakah aku mengamalkan apa telah kupelajari? Adakah aku sampaikan pada yang lain? Sekiranya aku sampaikan, adakah ilmu yang kusampaikan itu betul, adakah mereka yang mendapat ilmu dariku memanfaatkannya atau ia terhenti setakat itu sahaja? Oh, bagaimana ya? Nampaknya aku perlu lebih berusaha untuk belajar dan beramal dengan ilmuku, mengajar serta menyampaikan ilmu tersebut pada yang lain, pada seramai mungkin. Mudah-mudahan ada yang terus-terusan mengamalkannya. Dan mudah-mudahan amalan-amalan itu sampai kepadaku setelah aku meninggal dunia nanti.

Amalan yang ketiga pula ialah amal jariah yang berterusan. Hemm..terfikir sebentar..adakah apa-apa amal jariah yang pernah kulakukan? Jika ada pun, adakah ianya berterusan? Atau adakah ianya terhenti setakat itu sahaja?

Aduhai..bagaimana ini? Umurku semakin singkat tetapi bekalanku belum cukup lagi. Oh, tidak! Saya sudah kesuntukan masa! (-__-") Huwaaaa... ;-(

Huh..tetiba terasa gerun di hatiku..bagaimana jika hari ini adalah hari terakhir bagiku? Apa yang akan ku bawa ke sana? Dosaku banyak. Aku belum cukup bertaubat lagi. Huwaaaaa...tolong aku! Eh, siapa yang boleh tolong aku dalam hal sebegini? Hanya Allah dan diri ku sahaja yang mampu membantu diriku sendiri. Tolong Ya Allah, berikanlah kesempatan pada hambaMu ini..

Badanku terasa lemah, longlai..langkahku lesu memikirkan perkara ini. Adakah aku masih punya masa?

*********
Ya, usah berputus asa Nazrahku, kau masih punya masa! Selagi nyawamu belum sampai ke halkum, selaki itulah kau masih punya peluang untuk bertaubat, membuat amal ibadah serta mengumpul bekalan untuk kau bawa ke alam barzakh..ke akhirat..dan ke syurga yang kekal abadi.

Oleh itu, gunakanlah masa yang masih ada ini sebaik mungkin. Manfaatkannya sehabis baik. Usah kau baziri walau sesaat kerana di dunia ini sahajalah tempat untuk kau beramal. Di dunia ini sajalah tempat untuk kau bercucuk tanam. Maka, bercucuk tanamlah. Kemudian, jaga dan bajailah tanamanmu itu sebaik mungkin. Mudah-mudahan kau dapat menikmati hasilnya nanti semasa di alam barzakh, di alam akhirat dan seterusnya di syurga yang kekal abadi itu.
*********

Ahh..ya lah..aku masih punya masa! Terima kasih wahai sahabat. InsyaAllah akan ku hargai masa yang masih ada ini.


Rabu, Mac 23, 2011

Memotivasikan Diri Dengan Al-Quran

Di saat saya menghadapi cabaran dalam hidup di dunia ini, ayat inilah yang menjadi penguat semangat saya...

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
Ia mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”.
(Al Baqarah 286)